Tuesday, February 3, 2009

LLB , LLB_S , What's nex?

Sesungguhnya masa cepat sangat berlalu..baru semalam rasa saya mendaftar diri sebagai pelajar undang2 di Taman Ilmu dan Budi, UIA Gombak..tapi hari ini, Alhamdulillah..Allah masih memberi peluang nikmat kehidupan dan sekarang saya sedang menghadapi semester akhir untuk ijazah pertama ini..terlalu banyak cabaran, suka duka sepanjang menjadi pelajar di sini..sesungguhnya learning proses tu tak akan habis sampai bila2..bila da di final sem ni,macam2 come to my mind, apa nak buat lepas ni?hm..ada beberapa pilihan yg saya ada..moga Allah jua yg memberi kekuatan untuk saya terus menuntut ilmu..InsyaAllah, niat di hati untuk terus mengambil ijazah kedua dalam undang2 syariah, walaupun kadang2 hati kecil ni selalu berubah2 fikiran...entah apa yg saya fikir..mendapat title Advocate & Solicitor juga menjadi keinginan saya..maka, saya harus sabar untuk menempuh semua ni..saya pernah bercita2 untuk menjadi peguam syarie suatu masa nnt..menolong orang awam di luar sana yg memerlukan khidmat nasihat in syariah matters, especially in Muslim family dispute..insyaAllah, dengan izin Allah, saya akan terus berusaha dan mempersiapkan diri ke arah ini..doakan saya:) ni ada artikel ttg peranan seorang peguam syarie yg menarik minat saya untuk berkongsi.. setiap orang di muka bumi ni ada tanggungjawab masing2 untuk di sempurnakan...
  • Peguam Syarie Menulis: Nilai profesionalisme, integriti mesti sentiasa jadi keutamaan
    Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

UMUM mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil, peguam adalah pihak tidak kurang pentingnya membantu perjalanan sesuatu kes itu. Peguam adalah 'alat' bagi mencapai keadilan di mahkamah. Peranan peguam tidak hanya terhad di mahkamah saja kerana peguam adalah profesion dihormati. Saranan dan nasihat peguam biasanya diambilkira dalam membuat sesuatu keputusan di luar mahkamah. Apatah lagi jika membabitkan hal ehwal perundangan. Umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri. Seorang peguam wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran membantu pihak memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran atau matlamat utama.

Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Antara ciri yang perlu ada pada peguam ialah:


-Mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti yang mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesional tinggi peguam. Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan.


-Mengambil berat dan sabar dalam berurusan. Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati serta melayan semua pihak sama ada pihak lawan atau peguam mereka dengan adil, baik dan menjauhi daripada bertindak tidak adil sepanjang proses undang-undang dilaksanakan. Ini bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama peguam pada pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes serta pihak yang diwakili.


-Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Melalui kerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui. Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mendidik peguam baru sebagai pelapis profesion ini.


-Bersikap baik dan mengambil berat. Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, tetapi juga seluruh manusia yang menjadi temannya. Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan.
-Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya. Pada masa sama, kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan syariah yang diperjuangkan.


-Bersungguh dan teliti. Peguam perlu sanggup berkorban masa, tenaga, kepakaran untuk memahami dan menguasai setiap fakta kes serta peruntukan undang-undang dibentangkan di hadapannya. Dengan menguasai fakta dan undang-undang, ia membantu peguam menjalankan tugasan, mencari hujah yang perlu, bersesuaian dan mendalam untuk kebaikan pelanggannya.
Suka berkhidmat dengan hati yang luhur dan ikhlas.

Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya. Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang. Sebagai peguam syarie pula, kita perlu mengelak daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik Mahkamah Syariah, sistem perundangan syariah atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan syariah terhakis. Matlamat kita mencari kebenaran, menamatkan perselisihan secara baik dan memberi hak kepada yang berhak dengan penuh keadilan seperti diperuntukkan hukum syarak. Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan menggunakan kaedah sulh atau mediasi. Alhamdulillah cara ini yang lebih dikenali sebagai 'alternatif penyelesaian pertikaian' (ADR) sudah berkembang baik dalam sektor perundangan syariah berbanding apa yang berlaku di Mahkamah Sivil. Perkara ini dapat dibuktikan dengan peningkatan kadar penyelesaian kes luar mahkamah di Mahkamah Syariah. Hal demikian disebabkan usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menganjurkan latihan kepada pegawai sulh dan peguam syarie mengikuti Kursus Mediasi yang dikendalikan pemudah cara berpengalaman dari Australia. Malah, Kursus Mediasi Lanjutan juga dijalankan dan ia yang julung kali diadakan seumpamanya di Malaysia. Dengan bimbingan pakar dari Australia ini, pegawai sulh dan peguam syarie dapat menimba ilmu kemahiran dan melaksanakan dalam amalan seharian mereka. Berbalik kepada peranan peguam syarie di Mahkamah Syariah, sudah tentu kita perlu merujuk kepada sumber asal perundangan syariah iaitu al-Quran dan sunnah. Untuk tujuan itu eloklah kita renung sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka" (Hadis riwayat Abu Dawud) Jika dikaji hadis itu, ia memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu sebenarnya bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim akan ke neraka itu sudah pasti mengheret peguam berhujah secara palsu di depannya bersama mereka. Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Peranan peguam sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang berhak. Bukanlah ukuran seorang peguam syarie yang cemerlang itu memenangi semua kes diwakilinya tetapi apa lebih penting ialah dapat memberikan keadilan kepada yang berhak menerimanya. Jika peguam syarie memberikan hak kepada yang tidak berhak, seolah-olah peguam syarie itu memberikan api neraka kepada mereka. Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Layari www.peguamsyarie.org.

No comments:

Post a Comment